Mereput di Golok! Perasaan takut ditahan pihak berkuasa Thailand sukar digambarkan
Pengalaman menjadi banduan di Penjara Narathiwat, Thailand, selama lapan bulan memberi keinsafan buat seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Lan, 45.
Dalam kejadian pada tahun 2008, Lan bukan sahaja ditahan kerana memasuki negara sempadan melalui pangkalan secara haram malah memiliki dadah jenis Erimin 5 dan dia ditahan ketika berhibur di kelab malam sebuah hotel di Golok.
Perasaan takut ditahan pihak berkuasa Thailand amat sukar digambarkan memandangkan itu kali pertama dia ditahan di luar negara.
“Sebelum insiden terbabit, saya sudah beberapa kali menjadi tahanan dalam negara akibat penyalahgunaan dadah, namun ternyata ditangkap di negara orang jauh lebih mendebarkan dan menakutkan.
“Saya yang ketika itu ditahan bersama seorang lagi rakan kemudian dimasukkan ke lokap Balai Polis Golok selama dua hari, sebelum dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk tahanan lanjut.
“Selepas itu saya perlu menjalani tahanan reman selama dua bulan di Penjara Narathiwat dan akibat tiada yang datang membayar ikat jamin, saya terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan di sana,” katanya.
Lan berkata, untuk kesnya, dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000, tetapi kerana masalah kewangan keluarganya tidak dapat mencari wang kerana ikat jamin hanya dibenarkan dalam tempoh dua bulan ketika ditahan reman.
“Selain itu, dalam mahkamah mereka menggunakan bahasa Thailand sepenuhnya, namun pesalah warga Malaysia akan dibantu pegawai yang boleh berbahasa Melayu sebagai penterjemah.
“Sebaik dimaklumkan bahawa tempoh tahanan reman adalah selama dua bulan saya terkejut kerana ia jauh lebih lama berbanding di Malaysia yang biasanya mengambil masa tiga hari atau dua minggu sahaja.
Bagi saya, menjadi banduan di negara orang agak sukar terutama untuk berhubung dengan keluarga selain kos yang agak tinggi untuk mereka ke Thailand demi melawat banduan seperti saya,” katanya yang mengakui sudah ‘cuci tangan’ daripada terbabit dengan bahan terlarang itu.
Menurutnya, dia difahamkan tempoh sebenar dia ditahan adalah selama satu tahun namun selepas ditolak hari cuti dan hari kebesaran, tempoh tahanan menjadi enam bulan sahaja.
Tambahnya, berada di penjara menyebabkan dia terputus dengan dunia luar kerana langsung tidak dibenarkan mendengar radio apatah lagi menonton televisyen atau berita luar dan hanya sesekali mengetahui perkembangan semasa ketika menerima lawatan daripada ahli keluarga.
“Setiap hari banduan di sana menjalankan aktiviti yang sudah ditetapkan seperti mengambil kursus bertukang dan menjahit pukat yang kemudian boleh dipraktikkan apabila dibebaskan. Pada ketika itu, terdapat lebih 20 banduan dari Malaysia yang menjadi tahanan atas pelbagai kesalahan.
“Malah kami juga diberi pelajaran ilmu agama yang mana tenaga pengajar adalah dalam kalangan banduan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Adnan, 57, turut berkongsi titik hitam hidupnya yang terjerumus dengan penyalahgunaan bahan telarang selain pernah ditahan di Golok kerana positif dadah.
“Saya disuruh menjalani ujian saringan air kencing dan keputusannya positif menyebabkan saya ditahan di lokap selama dua hari sebelum dibawa ke Mahkamah Narathiwat. Dengan bantuan keluarga saya diikat jamin sebanyak RM12,000.
“Melalui pengalaman ini juga, saya diberitahu bahawa di negara seberang terdapat cara lain untuk ikat jamin selain dengan bayaran tunai iaitu dengan menggadai geran tanah tetapi syaratnya tanah di Thailand sahaja.
“Pucuk pangkalnya, anak muda yang suka berhibur di sana, dinasihatkan agar jangan menyentuh bahan-bahan terlarang ini jika tidak mahu melalui pengalaman ‘ngeri’ ditahan di negara orang katanya.
Tambahnya, adalah lebih baik untuk tidak menjejakkan kaki ke tempat sedemikian kerana ia boleh mendorong anak muda untuk terjerumus dengan perkara yang lebih memudaratkan.
Taubat bekas penjual pil ‘tunjuk langit’
“Saya pernah menjadi pembekal dadah untuk rakyat Malaysia yang mahu ke pusat hiburan di Golok, suatu ketika dulu,” kata bekas penagih dan pengedar dadah, yang mahu dikenali Azrin, 45.
Azrin berkata, malah dia pernah menggunakan isteri serta anaknya berusia empat tahun, untuk menjual pil ekstasi atau dipanggil pil ‘tunjuk langit’ kepada mereka yang mahu berhibur di sana (Golok).
Katanya, ketika itu dia seperti tidak dapat berfikir dengan waras mungkin juga kesan daripada dadah jenis pil kuda yang diambilnya hampir setiap hari.
“Pengedar dadah akan memikirkan pelbagai cara untuk menjalankan kegiatan haram berkenaan agar tidak dihidu pihak berkuasa, sehingga sanggup mempergunakan keluarga sendiri.
“Pelanggan saya biasanya ramai pada hari Khamis kerana mereka akan ke Golok pada malam Khamis atau Jumaat untuk berhibur di disko atau kelab dangdut.
“Supaya tidak dikesan polis, saya biasanya akan deal dengan pelanggan untuk menyerahkan ubat ‘tunjuk langit’ di luar pekan Rantau Panjang dan menggalakkan mereka membayar secara dalam talian,” katanya.
Azrin berkata, selain pil ‘tunjuk langit’ atau dadah jenis ekstasi, dia juga mengedarkan pil kuda yang mana mendapatkan bekalan terus daripada penyeludup yang juga warga tempatan.
“Saya tidak pernah menyeludup sendiri namun saya difahamkan mereka membawa masuk melalui pangkalan haram yang jarang dikenali selain aktif menjalankan kegiatan pada waktu tengah malam dan awal pagi.
“Bagaimanapun, ada yang lebih berani dengan berlagak seperti pengunjung biasa yang merentas sungai ketika waktu sesak dengan orang ramai yang keluar masuk Malaysia-Thailand,” katanya.
Jelasnya, dia kini berasa tenang kerana sudah ‘bersih’ daripada kegiatan haram berkenaan selain selalu berdoa agar terus istiqamah menjadi insan yang lebih baik.
‘Ambil ekstasi barulah rasa betul-betul healing
Hanya berbekalkan RM10 sehingga RM15, anak muda termasuk remaja boleh mendapatkan pil ‘tunjuk langit’ yang biasa diambil ketika berhibur di pusat hiburan di Golok, Thailand.
Pil ‘tunjuk langit’ atau dadah jenis ekstasi itu menjadi pilihan anak muda kerana harganya yang lebih murah berbanding jus healing yang bernilai RM300 sehingga RM400 untuk satu uncang.
Pengunjung tegar pusat hiburan di Golok, Sara, 32, berkata, pil ‘tunjuk langit’ diambil dengan cara memasukkan ke dalam air berkarbonat manakala jus healing yang datang dengan pelbagai perisa seperti anggur, limau dan jambu batu akan dibuat di dalam satu jag untuk diminum beramai-ramai.
“Saya pernah merasai kedua-duanya dan bagi saya kesannya sama yang mana kita akan lebih menghayati muzik dimainkan selain berani menari tanpa rasa malu. Dalam erti kata lain, barulah terasa benar-benar healing.
“Pil ‘tunjuk langit’ atau jus healing boleh saja diperoleh daripada pengedar di dalam negara terutama di kawasan sempadan dan ia mudah diperoleh terutama ketika hujung minggu kerana ramai yang masuk ke Golok untuk berhibur pada waktu itu.
“Kalau tak sempat beli di sempadan, boleh sahaja dapatkan pil atau jus terbabit di pusat hiburan tetapi di sebelah sana ia lebih dikenali sebagai pil ya’ie,”katanya.
- Local News
- World News
- Crime
- Politik
- Film
- FootBall
- Food
- Games
- Health
- Home
- Literature
- Music
- Networking
- Other
- Religion
- Shopping
- Sports
- Opinion
- Tech
- Scam
- Bussines News
- Credit
- Hosting
- Insurance
- Infomation
- Finance
- Entertaiment
- Education
- Artist
- Trick and hack
- Forex
- Review
- Vps Forex