Tiada Lagi Permohonan Tambahan Masa Untuk Projek Pan Borneo Sabah - KKR
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap tiada lagi permohonan tambahan masa (EOT) untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya bagi 12 pakej kerja Fasa 1A yang belum siap setakat ini.
Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata projek itu sudah diberi EOT yang banyak dan sudah lama dilaksanakan, namun baru empat daripada 16 pakej kerja yang siap.
Katanya, masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti yang dikatakan sebagai punca utama kelewatan itu serta tidak dapat dielak, juga masih boleh dipercepatkan melalui pendekatan tertentu.
“Hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri pembahagian kerja dibuat untuk membina Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan ini dan saya tadi berpesan agar kita membina dengan pantas.
“HARAPAN SAYA TIDAK ADA LAGI EOT YANG TERLALU BANYAK KEPADA SYARIKAT KONTRAKTOR, KECUALILAH JIKA IA TIDAK DAPAT DIELAKKAN SEPERTI PENGAMBILAN TANAH DAN PENGALIHAN UTILITI.
“Namun, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti juga boleh dicepatkan. Sebagai contoh, pengambilan tanah ada tempoh dan bahagian tertentu yang mana dari tempoh setahun boleh diawalkan menjadi setengah tahun dan kalau dua tahun boleh diawalkan menjadi lapan bulan,” katanya ketika meninjau kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bagi Pakej Kerja Lapan (WP08) di Telipok, dekat sini, semalam.
Beliau berkata, kejayaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang kini sudah 99 peratus siap perlu dijadikan panduan supaya projek lebuh raya itu yang dimulakan pada 2016 di Sabah juga boleh dipercepatkan.
Ketika ini, katanya projek Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru mencapai purata 79 peratus siap, termasuk empat pakej kerja yang sudah siap sepenuhnya dengan jangkaan penyiapan baharu pada akhir tahun depan dan awal 2026.
“Saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau supaya semua pakej kerja 1A yang sekarang ini siap 79 peratus secara purata akan dipercepatkan.
“Pencapaian 79 peratus itu disebabkan empat pakej kerja sudah siap, tetapi kadang-kadang tidak menggambarkan pencapaian sebenar kerana ada pakej kerja yang lambat,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan kontraktor projek bagi jajaran Sepanggar-Berungis, dekat Tuaran, di sini, supaya memantau dengan teliti aliran trafik bagi mengurangkan masalah kesesakan di laluan berkenaan.
Beliau berkata, pelbagai langkah boleh diambil ke arah itu seperti memanjangkan lorong untuk pusingan ‘U’, menutup lokasi pusingan ‘U’ haram dan melebarkan lorong sedia ada.
Katanya, jurutera projek itu perlu sentiasa peka dan bertindak proaktif terhadap aduan pengguna yang terkesan dengan masalah kesesakan akibat kerja pembinaan lebuh raya yang memakan masa lama untuk disiapkan.
Pakej Kerja Lapan (WP08) membabitkan kerja menaik taraf laluan sedia ada sepanjang 11.7 kilometer bermula dari Tebobon, Sepanggar hingga ke Bulatan Berungis, Tuaran membabitkan kos RM513.6 juta.
Projek berkenaan bermula 3 Disember 2019 dan sepatutnya siap 3 September 2022, namun berlaku kelewatan membabitkan tiga EOT dengan terbaharu dijadual siap 10 Disember 2025.
- Local News
- World News
- Crime
- Politik
- Film
- FootBall
- Food
- Giochi
- Health
- Home
- Literature
- Music
- Networking
- Altre informazioni
- Religion
- Shopping
- Sports
- Opinion
- Tech
- Scam
- Bussines News
- Credit
- Hosting
- Insurance
- Infomation
- Finance
- Entertaiment
- Formazione
- Artist
- Trick and hack
- Forex
- Anteprima
- Vps Forex